~~~~~~ Marilah kita menonton sebuah video yang berkaitan dengan menenun kain~~~~
Teknik dan ProsesMenenun kain
Setelah benang dibersihkan dan dimasukkan ke dalam pencelup warna, ia
dibilas dengan air dan dijemur hingga kering. Lapan proses lagi yang
terlibat sebelum sesuatu tenunan boleh disiapkan ialah melerai,
menganing, menggulung, menyampuk, menghubung, mengarak, menyolek dan
menenun.
1. Melerai
Benang yang telah kering dimasukkan ke dalam sejenis alat yang bernama
rahak untuk diputarkan pada satu alat yang bernama peleting. Proses ini
dipanggil melerai. Terdapat dua jenis rahak, iaitu darwin pakan dan
darwin emas. Darwin pakan digunakan untuk benang pakan sahaja. Ia
diperbuat daripada buluh dan tali atau rotan. Darwin emas pula digunakan
untuk benang emas sahaja dan diperbuat daripada kayu atau dawai kerana
benang emas kasar dan berat.
2. Menganing
Benang yang telah menjalani proses melerai dimasukkan ke dalam alat
menganing untuk menentukan ukuran panjang benang yang hendak dimuatkan
pada alat ini. Biasanya segulung benang pakan atau seloseng yang
berukuran 26 - 31 m boleh menghasilkan 12 - 14 helai kain.
3. Menggulung
Benang yang telah dianing akan digulung pada papan gulung mengikut lebar
gigi jentera dan panjang losen pada papan gulung yang hendak dipasung.
Losen ialah benang yang memanjang pada kek. Kedudukan benang perlu
diperiksa setiap tiga kali menggulung untuk memastikan susunan kemas.
4. Menyampuk
Menyampuk ialah proses memasukkan benang losen ke dalam gigi jentera
atau sikat. Biasanya, proses ini dilakukan di dalam kek mengarak supaya
senang untuk menyampuk benang kepada jentera. Setiap lubang sikat
disusukan dua urat benang losen. Pada kedua belah hujung sikat itu
disusukkan empat urat benang supaya tepi kain tidak terkoyak apabila
disangkutkan pada kayu sumbi kain. Sumbi kain ialah sebatang anak kayu
yang mempunyai paku di kedua-dua belah hujungnya. Sumbi kain menjaga
tepi kain tenun supaya sama jarak dan tidak berkedut.
5. Menghubung
Menghubung ialah proses menyambungkan benang daripada losen kepada
benang yang tertinggal pada jentera. Cara ikatannya dipanggil ubung
tindas. Proses ini bertujuan menyambungkan benang losen untuk menenun.
Meja kecil dinamakan meja hidangan berukuran 10 cm panjang, 8 cm lebar
dan 20 cm digunakan untuk menghubung.
6. Mengarak
Kerja mengarak dilakukan setelah selesai proses menyampuk. Mengarak
dilakukan dengan melilit benang asing atau benang karat kepada kayu
karat, termasuk benang losen. Jumlah karat yang digunakan biasanya hanya
dua karat dan setiap karat mempunyai empat batang anak kayu.
7. Menyolek
Kerja menyolek bunga merupakan kerja yang paling rumit dalam proses
menenun kain songket. Cara menyolek reka corak adalah dengan menyusulkan
lidi-lidi buluh pada benang losen yang dikehendaki. Biasanya kain
songket ditenun dengan teknik tekat tiga atau tekat lima. Jika
menggunakan tekat lima, setiap lima unit benang losen, satu benang alas
ditolak ke bawah dan benang-benang alas ini disengkang pula dengan
belira. Setelah benang losen berada di atas, barulah kamu boleh menyolek
dalam pelbagai corak pada benang losen dengan menggunakan lidi buluh.
Belira dimasukkan pada setiap lidi buluh tadi mengikut giliran. Belira
ditegakkan untuk menyenangkan ikatan benang butang. Butang-butang inilah
yang akan menjadikan corak atau motif bunga di atas kain songket.
Apabila selesai proses menyongket, benang losen bersama karat-karatnya
ditukar ke kek tenun untuk ditenun agar menjadi kain songket.
8. Menenun
Menenun adalah proses terakhir, iaitu benang losen dipangkah oleh benang
pakan untuk dijadikan kain. Bagi kain songket bercorak penuh, benang
emas dilayarkan melalui torak benang emas untuk menghasilkan sulaman
motif bunga atau hiasan reka corak penuh. Bagi kain songket corak
melintang atau corak bunga bertabur, benang emas dilayarkan melalui
cubaan untuk mendapatkan motif-motif yang dikehendaki. Lazimnya selepas
satu benang emas dilayarkan, ia dikepuh (beat) dan diikuti pula dengan
melayarkan dua benang pakan. Penenun akan menukarkan benang butang
mengikut giliran dan corak yang telah ditentukan. Proses ini diulangi
sehingga menghasilkan sehelai kain songket.